KUCHING: Rakyat Sarawak harus memberi kemenangan besar kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi gabungan itu terus berjuang membela hak merka.
Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, rakyat Sarawak berhak mendapat peruntukan lebih banyak dari Kerajaan Persekutuan bagi meningkatkan lagi pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas di negeri ini seperti jalan raya, jambatan, bekalan air dan elektrik serta telekomunikasi.
"Rakyat Sarawak berhak mendapat lapangan terbang dan pelabuhan yang lebih moden dan efisien. Rakyat Sarawak berhak mendapat infrastruktur, pendidikan dan kesihatan yang lebih baik dan bertaraf tinggi,” katanya semasa Pelancaran Manifesto GPS oleh Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di sini.
Awang Tengah yang juga Timbalan Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, rakyat Sarawak juga berhak mendapat kemudahan perumahan yang lebih selesa dan mampu milik.
"Kita juga berhak mendapat peruntukan lebih besar bagi menyediakan estet perindustrian dan premis perniagaan untuk membantu meningkatkan perusahaan kecil dan sederhana," tambahnya.
Beliau berkata, pihaknya juga mahu Kerajaan Persekutuan bersama meningkatkan aktiviti ekonomi dan memperbanyakkan program meningkatkan taraf hidup masyarakat sekali gus membasmi kemiskinan.
Sumber dari : Jiwa Bakti